Cari Hadith

Saturday, March 10, 2012

Muqaddimah Blog Hadith Dan Sunnah



السلام عليكم




Alhamdulillah, blog ini merupakan usaha kecil penulis untuk mengumpulkan takhrij hadith-hadith yang sering tersebar dalam kalangan masyarakat. Penulis mengambil inisiatif ini selepas menyedari keperluan ummat yang semakin lama semakin celik dan prihatin dalam menyemak sumber dan status sesebuah hadith. Tambahan pula, sering kali penulis diajukan dengan soalan-soalan berkaitan dengan hadith terutama kedudukan/ status hadith tersebut di laman sosial sejak beberapa tahun yang lalu.

Untuk memudahkan carian semula dan manfaat yang lebih besar buat ummat, maka blog ini diwujudkan. Asalnya blog ini mengambil pendekatan seperti laman-laman takhrij hadith yang popular namun disebabkan kemungkinan tidak semua mampu berbahasa Arab maka penulis sedaya upaya cuba memuatkannya di dalam bahasa ibunda agar ianya memudahkan ummat.

Memandangkan blog ini diuruskan sepenuhnya oleh admin secara perseorangan maka penulis lebih menumpukan perhatian kepada hadith-hadith yang dinilai bermasalah disisi para ulama' hadith yang muktabar. Penulis menegaskan bahawa segala komentar terhadap status hadith bukanlah keluar daripada mulut penulis sendiri melainkan ianya komentar yang telah disebutkan oleh para ulama' hadith dalam kitab-kitab mereka.

Penulis juga menegaskan bahawa laman ini hanya menaqalkan (quote) kalam para ulama' secara ringkas. Bagi sesiapa yang berkemampuan untuk menyemak dengan lebih mendalam baik dari sudut sanad dan matannya maka itu tentulah lebih baik terutama bagi hadith-hadith yang diperselisihkan oleh para ulama' (ulama' hadith salaf semisal Al-Bukhari, Al-Tirmizi, Ali Ibn Madini, Abu Hatim al-Razi dan yang seangkatan dengan mereka.)

Akhir kalam, semoga blog ini dapat dimanfaatkan oleh ummat dengan sebaik-baiknya dan menjadi saham pahala buat penulis dan keluarga serta buat semua yang memanfaatkannya. Hanya doa yang penulis harapkan daripada ummat untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Nota:

Pelawat mungkin akan melihat beberapa hadith di dalam Sahih Al-Bukhari pada posting awal dalam blog ini. Ini kerana pada asalnya blog ini bertujuan untuk memuatkan hadith-hadith terpilih dalam kitab hadith yang enam namun disebabkan keterbatasan waktu, tenaga dan masa maka penulis menukarkan blog ini kepada blog status hadith.

Sekian, terima kasih.





والله أعلمُ بالـصـواب